Jumaat, 25 Mac 2011

Guru Pembina Negara Bangsa~~

Assalamualaikum semua..hye3x~~~Erm... dah seminggu tak update blog nie kan?Hehhehee...sibuk bah dgn assigment..huh....hehehhe...k..bagi membuktikan yang Cik buat assigment...Nie contoh karangan yang berformatkan ceramah yang telah Cik hasilkan semalam..hehehehe......Pastu....dah abis buat sampai 5 pages...baru Floe gtaw yang maksimum 54o words jak..aiyoooo~~Cik terus pening o...tapi alhamdullilah...akhirnya ok gak..hehehhe:)
Nah,bacalah law sudi..hehehhe....

           Sekalung apresiasi saya hulurkan buat pengerusi majlis, Yang Berusaha Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Kinabutan, Tawau, Sabah, yang diraikan barisan pendidik dihadapan saya, para pelajar pelapis keagungan bangsa seterusnya hadirin sekalian. Assalamualaikum dan salam Satu Malaysia saya ucapkan. Terlebih dahulu ucapan terima kasih saya hulurkan buat organisasi dan jawatankuasa pengelola majlis pada hari ini kerana menjemput saya untuk menyampaikan ceramah buat anda semua.
Hadirin yang saya hormati,
“ Guru Pembina Negara Bangsa “, begitulah bunyi ceramah yang akan saya sampaikan sebentar lagi. Saya yakin frasa itu sudah seringkali menyapa cuping anda, namun sebagai rakyat Malaysia yang bijak anda harus mempunyai semangat inkuiri yang tinggi bahawa tema hari guru yang telah diwacanakan ini merupakan satu manifestasi yang unggul untuk menggambarkan betapa besarnya pengorbanan dan jasa seorang insan yang bergelar “cikgu”.
Oleh itu, saya akan mengajak hadirin sekalian untuk membuka setiap sudut fikiran kita yang sudah lama tersimpan di sudut yang sering kali kita lupakan kewujudannya. Jadi, suka saya mengingatkan bahawa untuk meningkatkan keupayaan pengetahuan dan inovasi Negara serta memupuk minda kelas pertama bukanlah hanya omongan kosong semata namun ia sudahpun tertulis rapi dalam teras kedua Misi Nasional dalam Rancangan Malaysia kesembilan yang perlu untuk kita beri tumpuan sebagai medium  pemupukan minda kelas pertama.
Hadirin yang saya muliakan,
Dalam konteks ‘ Guru Pembina Negara Bangsa ‘ ini, sebenarnya guru itu sendiri tidak boleh lari dari tugasnya untuk membina Negara bangsa yang diselaraskan, lantas bagaimana seorang guru biasa itu ingin membina Negara bangsa, hadirin sekalian? Jawapannya cukup mudah iaitu hanya dengan memupuk  dan mengamalkan cara bagaimana ingin menjadi manusia yang berminda kelas pertama yang akan menjadi nadi serta tunjang kegemilangan Negara.
Rentetan itu, individu yang digelar sebagai guru ini memikul tanggungjawab yang cukup besar untuk membina Negara bangsa yang menjadi asas pegangan mereka. Oleh hal yang demikian, mereka digalakkan untuk menambah ilmu pengetahuan, mengamalkan budaya membaca , menulis dan berdiskusi. Jika kita tuturkan sememangnya cukup mudah hadirin sekalian namun untuk melaksanakannya amat payah, amat sukar seperti menunggu bulan jatuh ke riba. Maka, atas rasional itu, teras kedua ini menjadi pemangkin agar guru itu mampu memimpin anak didiknya untuk mengapai bulan dan meletakkan bulan itu di riba mereka sendiri. Tidak mustahil hadirin sekalian sekiranya usaha itu dilaksanakan hingga dipenghujung jalan!
Hadirin yang saya muliakan,
Pemupukan minda kelas pertama itu meletakkan guru sebagai  modul bagi menambah ilmu pengetahuan. Ilmu pengetahuan yang bagaimana tuan-tuan dan puan-puan? Ilmu yang saya maksudkan tidak kiralah ilmu duniawi mahupun ukhrawi kerana itulah asas pegangan insan yang berminda kelas pertama. Mereka perlu seimbang dalam mengadili kehidupan di dunia dan kehidupan selepas dunia. Ilmu ibarat lautan dan yang ada pada kita hanya setitik cuma. Lantas kita perlu bersaing untuk menimba ilmu itu sebaik mungkin sebagai bekalan kerana itulah ciri insan minda kelas pertama yakni yang mampu mencari ilmu yang akan mengangkat martabat seseorang.
Selain itu, ilmu adalah kunci utama kehidupan dan juga kunci kepada kejayaan. Jika kita  tiada ilmu hadirin sekalian, kerja yang paling mudahpun akan menjadi sukar kerana ilmu adalah segala-galanya. Namun, sekiranya ilmu yang ada tidak diamalkan dan tidak ditambah dari masa ke semasa itu bukanlah insan kelas pertama kerana mereka tidak mengagungkan ilmu tetapi hanya mempunyai ilmu dan menjadikan ilmu itu sebagai  perhiasan semata bukan untuk pengisian jiwa dan akal.
Atas alasan itu, guru perlu melakukan anjakan paradigma agar Negara bangsa yang dibina itu berteraskan ilmu pengetahuan yang sentiasa bertambah serta diamalkan dan ketika itu saya yakin generasi pelapis dihadapan saya inilah yang akan dinukilkan sebagai ‘pemuda tiang bangsa, pemudi tiang Negara’.

Tuan-tuan dan puan-puan,
‘ Budaya membaca, budaya kita ‘, slogan ini seringkali dilaungkan tidak kiralah sama ada di media cetak, elektronik mahupun media massa sendiri. Namun, usaha ini umpama menanam tebu dipinggir bibir. Berjuta-juta ringgit Malaysia dihabiskan semata-mata untuk mengajak masyarakat hari ini yakni anda semua untuk mengamalkan budaya membaca ini dalam kehidupan seharian. Satu transformasi besar-besaran perlu dilaksanakan agar pemupukan minda kelas pertama ini dapat berrcambah dengan pantas.
Namun demikian, kepada siapa tangunggjawab ini perlu diletakkan? Jawapannya tiada lain lagi yakni profesion keguruan yang semakin mencabar akal fikir manusia hari ini dan yang menjadi harapan bagi memastikan pembentukan jati diri pelajar yang kukuh kerana guru itu diletakkan sebagai penanda aras  dan jalan untuk mewujudkan masyarakat yang berminda kelas pertama selaras dengan teras kedua Misi Nasional.
Hadirin sekalian,
Hal yang ingin saya tekankan disini ialah betapa signifikannya seorang guru itu sebagai fasilitator untuk memupuk minda kelas pertama yang ingin dinukilkan sebagai harapan nusa dan bangsa. Lantas, budaya membaca itu perlu disemai,d ibaja dan di jaga rapi agar bunganya mekar berkembang, itu secra analoginya hadirin sekalian betapa saya ingin menggambarkan kepentingan budaya membaca itu sebagai medium untuk mencapai kejayaan.
Tuan-tuan,
“ Cintaku bukan diatas kertas”, sememangnya bukan cinta yang ingin saya tuliskan diatas kertas namun otot-otot halus yakni jari jemari ini yang perlu memegang sebatang pen atau pensil agar mampu menulis diatas kertas yang indah bahasanya. Mengapa hadirin sekalian? Tugas seorang guru itu sendiri menuntut untuk mereka menjadi ‘tok guru’  kepada anak didik mereka. Menulis dapat membuka ruang lingkup pemikiran individu dari terus berada di takuk lama. Di samping itu, menulis dapat melahirkan seribu satu idea yang logik kerana inilah yang kita inginkan iaitu individu yang berfikiran maju dan mampu berfikir secara kreatif dan kritis.
Tambahan lagi, mereka bijak memanipulasikan ayat-ayat dan akal mereka pantas menproses maklumat serta mereka bijak bestari dan secekap komputer yang mampu menyimpan berjuta-juta maklumat. Hal inilah yang kita kataka  minda kelas pertama yakni bijak meluahkan buah fikiran dan menyuarakan pendapat. Tidak cukup dengan itu, signifikannya guru itu akan terbukti ketika ini kerana guru akan bertindak sebagai pemudah cara dan bukankah guru itu pembina Negara bangsa? Nah, sudah terang lagi bersuluh hadirin sekalian bahawa pemupukan minda kelas pertama itu walupun pelbagai namun kisahnya  tidak akan bermula tanpa adanya insan yang  bergelar  ‘cikgu’.
Atas rasional ini, tema “Guru Pembina Negara Bangsa”  itu digagaskan kerana kerajaan sedar bahawa guru merupakan individu yang berdiri di barisan paling hadapan untuk melakukan transformasi pemikiran masyarakat ke arah yang diinginkan yakni minda kelas pertama yang menjadi tunjang kegemilangan Negara. Hal ini kerana, keupayaan untuk seseorang itu menulis ialah kelebihan yang perlu digilap agar mereka mempunyai pakej yang lengkap untuk dinukilkan sebagai modul insan yang berfikiran global.
Hadirin yang saya hormati,
Jika cabaran globalisasi pada hari ini menuntut agar rakyat Malaysia menjadi lebih berpengetahuan, lebih berkemahiran, lebih berdisiplin dan lebih mengutamakan kualiti, maka tuntutan terhadap golongan guru sebagai golongan yang berada di barisan paling hadapan adalah jauh lebih hebat. Rentetan itu, berdiskusi mahupun berbincang akan dapat membuka pemikiran pelajar hari ini agar lebih matang untuk bersuara dan berpendapat positif.
Contoh yang paling ringkas untuk saya ketengahakan kepada hadirin  adalah kebijaksanaan guru untuk mencungkil bakat pelajar dan melatih mereka untuk petah berbicara lazimnya dalam aktiviti pidato, perbahasan, forum dan syarahan. Para guru giat menggalakkan penglibatan pelajar dalam acara sebegini agar mereka dapat berdiskusi dan berani menyuarakan pendapat secara berperaturan.
Selain itu, kedaluwarsa masyarakat perlu sedar bahawa perbincangan yang baik akan membuahkan hasil yang baik. Jangan pernah mengamalkan sikap mementingkan diri sendiri kerana itu jauh menyimpang dari sikap insan yang berminda kelas pertama. Berdiskusi itu pelu dipertingkatkan lagi bagi menjana pemikiran yang kritis terhadap apa jua perkara agar nilai minda kelas pertama itu mempunyai konotasi yang mahal dan sangat berharga nilainya.
Hadirin yang saya muliakan,
Jelaslah bahawa peranan yang perlu dilaksanakan oleh guru yang telah saya katakan sebentar tadi bahawa kecekapan dan keberkesanan peranan guru menerusi sistem pendidikan mampu membina negara bangsa yang berjaya. Tema yang diagungkan bermatlamatkan hasrat untuk memperkasakan peranan guru dalam mewujudkan pembangunan dan modal insan.
Selaras dengan itu, guru-guru perlu memandang ke hadapan berbekalkan visi dan misi yang jelas demi kejayaan generasi akan datang di negara yang berdaulat ini kerana bagi mencipta Negara bangsa yang unggul dan  mampu menghasilkan satu ketamadunan yang memiliki masyarakat yang berdisiplin, berhemah tinggi, berilmu, beriman serta berakhlak mulia kita perlu mempunyai usaha untuk mencapai pembentukan tamadun yang tinggi peradabannya ini.
Kesimpulannya, teras kedua Misi Nasional dalam Rancangan Malaysia kesembilan yang menggariskan peningkatan keupayaan pengetahuan dan inovasi Negara serta memupuk minda kelas pertama merupakan satu manifestasi unggul yang perlu dibanggakan terutamanya bagi golongan pendidik yang sentiasa berusaha untuk melaksanakan dan mentransformasikan minda anak didik mereka ke arah yang lebih professional setaraf dengan Negara global dasawarsa.
Lantas, bangunlah anak muda berikrar kepada diri sendiri untuk menjadi insane yang berminda kelas pertama kerana anda patut berbangga tunjang kepada Negara bangsa itu terletak pada anda bukannya pada guru kerana guru-guru anda sudah melalui zaman itu dan tiba masanya untuk mereka membina anda agar mampu menjadi seperti mereka. Renung-renungkan, sekian dan terima kasih.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...